Friday, February 17, 2012

Artikel Pertama..Apakah yang terakhir ?

بسم الله الرحمن الرحيم

Seusai mengambil wuduk, tiba-tiba datang seorang lelaki, juga untuk mengambil wuduk di sebelah saya. “Abang, paip tue rosak. Air tak keluar,” saya cuba memberitahu kepada lelaki tersebut kerana sebelum itu, saya sudah pun cuba mengambil wuduk di paip berkenaan. Namun, lelaki itu seperti tidak mempercayai kata-kata saya. Dia masih tetap memulas kepala paip berkenaan dengan harapan air akan keluar, namun jangkaannya meleset. Kemudian, barulah dia beralih ke paip yang lain.

Kemudian, otak saya ligat memikirkan situasi berkenaan. Hati saya bermonolog bersendirian. “Benarlah, sesetengah manusia tidak akan mempercayai sesuatu yang dikhabarkan sebelum dia sendiri mengalami perkara yang dikhabarkan sebelum ini,” getus hati saya.

Saya cuba menghubung-kaitkan peristiwa di atas dengan sistem musyrif yang diaplikasikan di Mesir. Sudah hampir 3 tahun kembara ilmu saya di Mesir. Banyak pengalaman manis mahupun pahit berlaku sepanjang hampir 3 tahun di bumi anbia’ ini. Namun sistem musyrif tetap hebat diperdebatkan oleh semua pelajar. Semua sedia maklum, keadaan di Mesir tidaklah begitu selamat dari aspek sosialnya. Malaysia juga, tidak kurang hebatnya. Kes rogol umpamanya, wajib akan dilaporkan oleh akhbar-akhbar harian. Boleh dikatakan mustahil kalau tidak ada berita tersebut, terutamanya Surat Khabar Metro.

Malah, kita semua merasakan takut untuk keluar rumah, terutamanya golongan perempuan. Kita merasakan tidak selamat apabila berada luar dari rumah. Namun, berada di rumah, tidak semestinya selamat. Boleh dikatakan, perasaan takut amat menguasai jiwa kita. Apakah kita masih tidak dapat tangkap situasi yang sedang berlaku ini? Inilah satu bentuk bala yang diturunkan oleh ALLAH dek kerana kebobrokan manusia mengejar perkara-perkara dunia sahaja. Akhirat dilupakan sama sekali. Agama digadaikan tanpa sebarang rasa bersalah. Gejala seks bebas berlaku tanpa kawalan. Manusia tidak lagi ada perasaan malu. Melakukan maksiat dengan terang-terangan. Artis menjadi pujaan, ulama dilupakan.

Rasulullah S.A.W Bersabda :

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (Warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.

(Hadith ini diriwayatkan Imam Ahmad, At-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majjah.)

Inilah bahana yang berlaku diseluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia, malah di Mesir juga tidak ketinggalan. Telinga saya pasti panas apabila mendengar cerita pelajar perempuan Malaysia, diganggu oleh orang Mesir. Namun, saya pelik memikirkan situasi yang berlaku kerana ada juga segelintir akhawat yang tetap berani keluar pada waktu malam tanpa musyrif. Ya, anda mungkin selamat walaupun tanpa musyrif. Namun, andai nasib anda tidak bernasib baik, apakah yang bakal anda lakukan, wahai para wanita?

Cukup mustahil, anda tidak pernah mendengar kisah-kisah pelajar akhawat Malaysia diganggu oleh Pak Arab. Diraba, dicabul dan sebagainya perkara-perkara kotor yang dilakukan oleh Pak Arab kepada para pelajar akhawat Malaysia. Namun, mengapa masih ada akhawat yang berani keluar malam tanpa musyrif? Apakah bila terkena, baru nak insaf? Saya teringat akan ayat Al-Quran, yang ada menceritakan perihal ahli neraka, apabila mereka dihumbankan ke dalam neraka, barulah mereka mengerti bahawa janji ALLAH itu benar dan mereka meminta supaya mereka dihidupkan semula ke dunia dan mereka memberi jaminan mereka pasti akan beriman. Tetapi, apakah permintaan mereka diperkenankan ALLAH? Pasti anda sudah tahu, jawapannya. Semestinya TIDAK.

Apakah akhawat juga bersikap demikian? Apabila sudah terkena perkara-perkara yang mencalarkan kehormatan anda, barulah nak menyesal. Seolah-olah meminta supaya masa diputarkan kembali. Pesanan saya kepada akhawat, tak perlulah anda berlagak berani, kerana anda secara realitinya memang ALLAH jadikan anda lemah. Tak perlu cakap besar, wahai para akhawat. Sebab itulah ALLAH jadikan lelaki, sebagai asbab yang bertindak sebagai pelindung kepada akhawat. Namun, harus diperingatkan, musyrif bukan pelindung yang hakiki kepada akhawat. Musyrif hanyalah sebagai asbab, namun pelindung yang sebenar-benarnya hanyalah ALLAH S.W.T.

Isu musyrif ini, tidak seharusnya 100% dipersalahkan kepada para akhawat. Namun, para ikhwah juga perlu bertanggungjawab. Saya melihat, ada segelintir pelajar ikhwah yang agak liat untuk menjadi musyrif. Ya, jawapan anda agak basi, iaitu SIBUK. Adakah anda seorang sahaja yang belajar medik? Adakah orang lain pun tak sibuk? Tepuk dada,lu jawablah sendiri. Para akhawat meminta pertolongan anda, bukanlah saja-saja. Pasti mereka mempunyai urusan sehingga memaksa mereka untuk keluar pada malam hari. Para ikhwah sekalian, sedarilah, para akhawat telah dijadikan oleh ALLAH sebagai insan yang lemah lembut sesuai dengan sifatnya yang penyayang. Anda pula, para ikhwah, dijadikan oleh ALLAH mempunyai tenaga yang kuat. Sebab itulah anda diwajibkan untuk berperang andai islam diserang musuh. Bukannya perempuan.

Daripada Abi Hurairah meriwayatkan Nabi S.A.W, baginda bersabda :

Maksud hadis : “ Sesiapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka ALLAH akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan, maka ALLAH akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa menutup aib seseorang Muslim maka ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. ALLAH menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka ALLAH akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul disalah suatu rumah ALLAH dengan membaca kitab ALLAH dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali bahawa ketenteraman akan turun kepada mereka, malaikat menaungi mereka di hadapan makhluk yang di sisi-Nya, dan sesiapa yang lambat (kurang) amalanya, maka tidak akan dipercepat mengangkat darjatnya.”

Secara tuntasnya, bagi akhwat, seandainya tiada kepentingan untuk keluar pada waktu malam, tidak perlulah anda keluar. Malam bukanlah sepanjang hari, siang pasti akan menjelma. Bila siang menjelma,bertebaranlah anda semua ke mana sahaja anda mahu pergi. Hingga ke hujung dunia pun, saya tak kisah. Hayatilah cerita ini.

Pada suatu hari Rasulullah S.A.W berjalan-jalan bersama puteri baginda Saidina Fatimah R.A. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah guna pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah S.A.W dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut, Rasulullah S.A.W menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu itu dari empat aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ia boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslimah.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Rabbul A’lamin.

Akhir sekali semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila semakin senja. Wallahualam………

Alhamdulillah..Berkat Kutip Sampah..

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t..alhamdulillah, itulah yang mampu diucapkan oleh hati ini..

Sewaktu matahari berada tepat di atas kepala, tiba-tiba telefon rumah berdering..ring..ring..

" Assalamualaikum,ma..acik nie..acik tertinggal passport kat rumah..minta anwar telefon acik balik.." begitulah perbualan antara abang saya yang ke-3, Khairul Amar ataupun nama panggilan keluarga sebagai acik dengan mama..

Acik terpaksa ke Singapura kerana terpaksa menghadiri mesyuarat..Mungkin terlalu banyak memikirkan hal kerja, dia terlupa membawa passport, satu benda yang cukup penting untuk di bawa bersama..Pernah satu ketika, acik tertinggal passport dirumah sewaktu ingin ke Australia..Nasib lebih malang, kerana tiada siapa dirumah untuk tolong menghantarkan passportnya ke airport..

Kali ini, mungkin ALLAH memberikan pengajaran buat sekian kalinya kepada acik supaya tidak alpa dimasa akan datang..Mujurlah ada mama dan saya dirumah untuk menghantar passport kepada acik..Tp, agak kelam-kabut jugak saya dibuatnya..

Namun, bukan situasi ini yang saya ingin tekankan..Ada situasi lain yang amat mebuatkan hati ini cukup bersyukur terhadap ALLAH..Mama pesan kepada saya, "Y, minggu depan nak balik dah..Baik kemas barang cepat2 takut nanti tertinggal macam acik." Kemudian, secara tiba-tiba mama tanya, " Tiket kat mana?" Subhanallah..baru saya teringat..TIKET!! Kat mana aku letak tiket aku ea? Tak ingat langsung pasal tiket..Maklumlah, terlalu gembira balik ke Malaysia..Tiket return ke mesir pun tak amik peduli..hehehe...

Saya mula rasa mengelabah..Namun saya cuba menyembunyikan perasaan kelam-kabut dihati saya supaya mama tidak turut cemas.. "Ada dalam jaket kot,mama..Sekali ngan passport.." jawab saya dengan yakin..

Balik ke rumah, setelah pekena burger ayam & burger oblong (share ngan mama ea), saya teruskan misi untuk cari tiket kapal terbang saya..Peluh mula memercik didahi..Ya Allah mana aku letak tiket aku? Langsung tidak ingat dimana saya meletakkan tiket saya..Bimbang pula terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli tiket kapal terbang yang lain..Kapal Terbang Airbus Fly Emirates mula berada dalam fikiran..hehehehe..Saya masih terus mencari..Tiba-tiba saya ternampak seperti kertas yang digumpal-gumpal umpama sampah ditepi beg saya a.k.a ditempat letak air botol ditepi beg..kat situ ad ubat-ubatan pemberian Haziq..Bila dibuka gumpalan kertas tue, " Alhamdulillah, sahaja yang mampu terbit dari hati ini.."

Hatiku terus berbisik, " Mungkin ini hikmahnya bila tidak buang sampah merata-rata..Terima kasih, Ya Allah kerana engkau membalas perbuatanku..Janganlah peristiwa ini menjadikan aku seorang hamba Mu yang takbur dan riya'..amin."

Saya masih ingat pesanan ustaz saya, "Jaga kebersihan bumi ini, macam jaga Masjid. Cuba bayang, apa perasaan kita bila buang sampah merata-rata dalam masjid? Kita kurang ajar terhadap Allah bukan?"

Itulah pesanan yang masih tersemat di dalam sanubari ini..Sehinggakan, kalo ada sampah, umpama pembungkus kertas gula-gula & sebagainya, terasa takut & bersalah sangat2 seandainya dibuang merata-rata..Malah, cikgu saya suruh supaya, apalah salahnya buang dulu di dalam poket, kemudian barulah buang ke dalam tong sampah, kalau tak jumpa tong sampah..

Ala kullihal, "Alhamdulillah,berkat simpan sampah."

Sungguh, janji Mu benar, YA RABB..wassalam...

Anwar Razali

Nawaitu

Assalamualaikum w.b.t..

Alhamdulillah, syukur terhadap MU Ya Allah, kerana masih memberikan diri ini kekuatan untuk terus hidup di muka bumi, ciptaan MU ini..Syukur juga, kerana Engkau masih lagi memberi kekuatan kepada cerebellum, cerebrum, dan juga brain stem hamba Mu ini untuk terus berfikir dan membantu pergerakan pantas jari jemari hamba Mu ini untuk menaip segala apa yg terlintas difikiran ku ini..

Ya Allah, biarlah niat hamba Mu ini, untuk mempunyai sebuah blog, supaya aku dapat berkongsi serba sedikit ilmu bersama rakan2 serta berkongsi sedikit sebanyak pengalaman aku sepanjang aku diberi peluang oleh Mu untuk terus hidup di dunia Mu ini..Amin Ya Rabbal Alamin..

Wassalam..